Masa depan seorang ibu dengan 10 anaknya begitu kelam akibat kesempitan wang sehingga memaksa mereka memakan nasi digaul dengan garam. Akibatnya anak Nur Atikah Abdullah, 38, jatuh sakit kerana tiada wang membeli makanan.
“Saya terpaksa menjual tong gas sebagai pertukaran bagi membeli makanan selepas anak menjadi lemah dan terbaring di lantai kerana makan nasi 'berulamkan' garam selama dua hari disebabkan tiada wang untuk membeli makanan,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Atikah hilang tempat bergantung dan terpaksa menyara anaknya berusia antara dua hingga 22 tahun selepas suaminya menjalani hukuman lapan bulan penjara kerana berniaga tanpa lesen.
Katanya, enam anaknya yang berusia antara 8 hingga 16 tahun terpaksa berhenti sekolah kerana tidak mampu membayar yuran, selain tiada kenderaan untuk ke sekolah.
“Mereka hanya sempat bersekolah seminggu saja pada awal Januari lalu sebelum wang perbelanjaan kami habis.
“Saya menjual kereta milik suami kerana tidak mampu membayar ansuran bulanan,” katanya.
Beliau cuba bekerja sebagai pembancuh air di Johor Baru dengan gaji RM80 sehari, namun tidak kekal lama kerana bimbang dengan keadaan anak-anak yang terbiar di rumahnya di sini.
Beliau juga pernah cuba menjalankan perniagaan pakaian bersama rakan, malangnya ditipu pembekal yang bertindak melarikan wang modal.
Walaupun mendapat bantuan bulanan Jabatan Zakat Negeri Kedah (JZNK) sebanyak RM500, namun jumlah itu tidak cukup untuk menampung keperluan, yang menyewa RM400 sebulan di Taman Murni.
Kisah hidup Atikah yang tersebar melalui WhatsApp mendapat perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Muda yang menghulurkan bantuan segera RM150 serta barang keperluan asas. - MalayMailOnline
Ads:
Out Of Topic Show Konversi KodeHide Konversi Kode Show EmoticonHide Emoticon