#HARGA_SEBUAH_PENYESALAN_YANG_TIADA_BERPERHUJUNGNYA…
Gambar yang saya sertakan ini adalah sebutharga untuk satu alat yang perlu dibeli oleh seorang pesakit saya untuk diletakkan di jantungnya. Alat yang dinamakan Cardiac Resynchronisation Therapy ini fungsinya adalah bertujuan untuk memperbetulkan ritma denyutan jantung yang terganggu akibat kegagalan jantung untuk berfungsi dengan baik. Harganya ialah RM84800!!! Bukan suatu jumlah yang kecil dan main-main.
Dia baru berusia 37 TAHUN! Dia sebelum ini sihat walafiat cuma dia tidak mensyukuri nikmat itu dengan menjebakkan dirinya di dalam KETAGIHAN ROKOK dari usia belasan tahun. Menurut teman-teman rapatnya, pesakit saya ini paling kurang sekotak rokok sehari mampu dihabiskan. Hari ini beliau berkali2 menyatakan seribu kesesalan kerana merokok itulah yang MERAGUT dan MERAMPAS usia mudanya. Dia hilang segala2nya yang mendefinisikan dia sebagai seorang lelaki pada awal tahun ini bila dia diserang sakit jantung secara tiba-tiba. Dia segera dibawa ke hospital dan didapati dia mengalami serangan jantung yang serius dan saluran darah jantungnya tersumbat dan memerlukan Percutaneous Coronary Intervention di mana 1 alat khas dimasukkan ke dalam saluran darah yang tersumbat di jantung. Malangnya akibat serangan tersebut, jantungnya tidak dapat diselamatkan, dan dia memerlukan CRT atau dalam bahasa yang kita biasa dengar ‘Pacemaker’ untuk meneruskan nyawanya selama mana mungkin dengan izin Allah SWT. Kalaulah waktu itu mampu diputarkan kembali katanya... Kalaulah dia dulu punya kesedaran diri… Kalaulah dia ambil pusing nasihat yang diberikan kepadanya tentang merokok… Dia tidak pernah menyangka dirinya akan terjelepuk ketidakupayaan pada usia 30an. Dia sudah hilang 25 kg sejak tarikh keramat itu.
Jantungnya sudah gagal berfungsi sedangkan dia baru masuk ke usia produktif. Dia punya seorang isteri dan 3 orang anak yang masih kecil. Dia sekarang hanya menunggu masa untuk mendapat bantuan kewangan untuk membiayai alat CRT itu dan harapannya menggunung tinggi semoga permohonannya diluluskan oleh pihak atasan. Untuk mendapatkan kelulusan, berbagai-bagai dokumentasi mesti disiapkan dan banyak peringkat mesti dilalui kerana jumlah peruntukan kewangan yang bukan sedikit. Dia bernasib baik juga kerana dia bekerja dengan kerajaan. Bayangkan kalau dia tidak, mana mungkin dia menyediakan sejumlah wang sebegitu besar.
Hari ini seperti biasa, saya menadah telinga mendengar keluhan dan rintihan hati seorang suami yang sudah tidak mampu untuk menunaikan tanggungjawab batinnya kepada isteri tersayang. Berjalan pun dia termengah-mengah walaupun hanya beberapa meter inikan pula untuk bersama isteri.
Keadaannya semakin teruk dari hari ke sehari apabila kakinya membengkak sehingga ke paras lutut dan abdomennya dipenuhi cecair seolah-olah membusung rupanya. Batuknya penuh berkahak berwarna putih. Paru-parunya telah berkumpul cecair yang menyebabkan dia tidak mampu tidur tanpa berlapikkan 3 ke 4 biji bantal. Tidur melentang memang tiada sudah di dalam kamus hidupnya. Sepanjang perbualan kami, beberapa kali dia terbatuk2 dan tercungap2 menarik nafas.
Mukanya pucat lesu. Tidak bermaya dan raut wajahnya sudah kelihatan seolah-olah dia di usia pertengahan abad. Dia tidak dapat lagi menemani anak-anak ke taman permainan. Untuk bergurau senda pun dia tidak bertenaga. Dia bukan lagi ayah seperti dulu. Ayah yang aktif dulu sudah lenyap.
Dia tidak lagi mampu memandu kereta waima dekat sekalipun kerana beratnya stereng itu seolah-olah dia memandu sebuah treler. Dia rindukan hobinya untuk memancing di laut dalam yang sudah hampir setahun ditinggalkan, joran pancingnya dipandang sepi. Dia teringatkan kemampuannya untuk menyertai aktiviti lasak. Semua itu hanya tinggal kenangan. Dia menyimpan hasrat dengan adanya alat tersebut, kehidupannya akan bertambah baik, baik dari sekarang. Sudah tidak tertanggung beban di bahunya.
Nasi sudah menjadi bubur. Penyesalan yang tiada penghujungnya lagi. Amanah Allah padanya dipandang ringan. Tubuh badannya ada amanah untuknya tetapi dibinasakan kerana merokok. Mudah untuk perokok-perokok di luar sana menyatakan mereka tidak akan diserang penyakit jantung. Siapa tahu? Pesakit saya pun tidak pernah terlintas yang merokok itu merobek seluruh hidupnya. Kebinasaan yang disebabkan dirinya sendiri...
Setiap hari saya menghadapi situasi untuk menyedarkan perokok-perokok tentang ketagihan mereka sebelum ia sudah terlalu lambat seperti yang terjadi kepada pesakit saya ini. Bukan mudah kerana merokok adalah budaya yang memang diterima di kalangan mereka yang di bawah jagaan saya.
Memang ada pesakit-pesakit saya yang sudah berhenti walaupun hanya segelintir, tetapi itu sudah mampu mengukirkan rasa kesyukuran di hati saya kerana usaha saya bukanlah sia-sia. Semoga saya dikuatkan hati untuk sentiasa istiqamah dalam menjalankan tugas. Aamiin...
Dr. Rusyainie binti Ramli
Pegawai Perubatan
Pangkalan Udara Butterworth
Artikel ini asalnya disiarkan di laman sosial Facebook milik Medical Mythbusters Malaysia.
Ads:
Out Of Topic Show Konversi KodeHide Konversi Kode Show EmoticonHide Emoticon