TIGA kisah BENAR mengenai GENTLE BIRTH yang TIDAK AKAN dipaparkan di media massa!

Gambar edit sebagai hiasan.
Kita mengetahui, awal tahun ini akhbar terkenal negara iaitu Utusan Malaysia ada menerbitkan artikel mempromosi apa yang dinamakan sebagai Gentle Birth. Ini disusuli pula dengan baru-baru ini syarikat Karangkraf, melalui majalahnya Mingguan Wanita, menerbitkan kisah "Kelahiran Alami". Tidak dilupakan juga media massa elektronik seperti TV3 melalui rancangannya Nona, dan juga dikatakan Astro Oasis juga akan menerbitkan satu episod dalam sebuah rancangan televisyen terbitannya, menceritakan mengenai Gentle Birth, Kelahiran Alami.

Hakikatnya apa yang dijadikan contoh melalui artikel-artikel dan rancangan TV tersebut sebenarnya adalah "unassisted homebirth" yang sama sekali tidak diterima oleh mana-mana pihak di negara kita ini.

Tatkala sisi positif mengenai "kelahiran alami" itu ditonjolkan, tentulah "sisi gelap" Gentle Birth itu tidak pernah diberitahu kepada masyarakat secara umum. Kes-kes kecelakaan, akan disembunyikan oleh mereka para pejuang "Gentle Birth", kerana bagi mereka kes-kes buruk ini tidak ada "positive vibes". Padahal, jika ada kes-kes negatif melibatkan hospital atau premis kesihatan, laju sahaja mereka menyebarkannya bagi menunjukkan kelemahan bersalin di hospital.

Justeru untuk episod kali ini, kami di Pseudoscience Watch ingin membawakan kepada anda, bukan satu, tapi tiga kisah benar melibatkan "gentle birth". Ketiga-tiga ibu terlibat begitu meyakini bahawa apa yang mereka lakukan itu adalah "gentle birth", padahal pilihan mereka itu mengundang bahaya dan risiko bukan sahaja melibatkan kesihatan, bahkan nyawa.

Bagi mengekalkan "anonymity" pihak terlibat, biarlah kami menggelarkan ketiga-tiga ibu malang yang terlibat sebagai Hamidah, Rafidah dan Ghasidah. Kes-kes mereka ini sangat terkenal, bahkan bukti-bukti perlakuan mereka masih lagi wujud di alam maya ini, jika anda pandai mencarinya.

HAMIDAH

Kisah Hamidah ini, sangat terkenal, berlaku pada penghujung 2012 kalau admin tidak silap. Kisahnya, Hamidah berhajat ingin bersalin di rumah, dengan hanya bertemankan suami dan seorang doula terkenal.

Menariknya, kisah ini kita tak perlu susah-susah hendak siasat mana sumbernya. Tak perlu kita tanya sana sini. Sebaliknya, Doula tersebut, telah menceritakan sendiri transkripsi situasi, minute by minute, dengan penuh dramatik di laman facebooknya. Walaupun penulisan beliau itu telah beliau delete, tetapi tentulah nothing ever gone in the Internet, ada orang sempat screenshot dan kita dapat baca penulisannya itu.

Dalam penulisan Doula ini, dia menceritakan bagaimana Hamidah yang melahirkan anak jam 11 pagi, tetapi menyebut bahawa plasenta hanya keluar selepas zuhur. Mana-mana doktor perubatan yang membaca cerita Doula ini pasti akan mengatakan bahawa ini adalah gila, kerana membiarkan plasenta selama dua jam didalam rahim!

Bukan itu sahaja, Doula tersebut menceritakan bagaimana Hamidah itu sendiri mengadu pening dan hampir pengsan, yang beliau (Doula) katakan adalah "biasa" dan sekadar memberi air dengan kurma untuk diteguk. Padahal pada situasi sebenar, apa yang dialami oleh Hamidah sebenarnya adalah simtom "shock" yang tentu sekali jika berlaku di hospital, akan membuatkan semua doktor berlari berkejaran untuk "resuscitate".

Lebih menarik lagi, Doula itu menceritakan bagaimana ketika Hamidah pengsan, beliau menghubungi hospital melalui telefon dan melakukan CPR dengan HANYA BERPANDUKAN TELEFON. Oh maiii..

Penceritaan Doula tersebut ditutup dengan jijik sekali apabila beliau mengatakan bahawa kononnya Hamidah masih memberikan refleks ketika sampai di hospital, dengan anggapan bahawa Hamidah masih hidup ketika dibawa ke hospital dan Doula tu telah melakukan yang terbaik menyelamatkan nyawa Hamidah. Ya, Hamidah meninggal dunia kerana disyaki mengalami pendarahan berlebihan, meninggalkan anak yang masih kemerahan. Doula tersebut pula tak habis-habis berbangga kerana kononnya telah berjaya menunaikan permintaan terakhir arwah Hamidah, dan tak sampai seminggu beliau sudah membuka kelas Gentlebirth nya dengan harga yang meningkat untuk mencari mangsa baru.

Admin baru-baru ini berkesempatan bertanya khabar kepada keluarga Hamidah, dan dapat melihat wajah anak Hamidah tersebut yang kini sudah besar, sudah berusia 3 tahun. Sangat persis wajah ibunya, bagaikan terselindung disebaliknya satu keazaman. Semoga beliau meningkat dewasa dengan sihat dan cerdas.

RAFIDAH

Kisah Rafidah, adalah sebuah kisah yang tragis. Sangat tragis sehinggakan apabila terkenangkannnya, admin masih menggetap bibir mengepal penumbuk. Sangat geram. Kisah yang menyatakan bagaimana seorang bayi menjadi mangsa akibat pilihan ibubapanya. Bukan ibubapanya yang menanggung kesan, tetapi bayi yang tidak berdosa menjadi mangsa!

Terlebih dahulu biar admin cerita, bagaimana kisah ini "kantoi"! Ibubapa ini, memuat naik gambar majlis pengkebumian anaknya yang baru lahir, di laman Facebook mereka sendiri. Tanpa mereka sedari, ada diantara gambar tersebut mengandungi gambar wajah jenazah anak syurga tersebut, yang nampak "berlainan". Gambar ini menarik perhatian beberapa pengguna media sosial yang ada diantaranya bertugas sebagai doktor sama ada di jabatan forensik, jabatan perbidanan mahupun jabatan pediatrik. Gambar tersebut menunjukkan wajah yang dipenuhi "bruises", dipanggil "congested face", tanda-tanda seorang bayi mengalami perinatal asphyxia atau bahasa ringkasnya "sangkut" ketika bersalin.

Siasat punya siasat, akhirnya ceritanya terbongkar. Rafidah dan suaminya berhasrat untuk melahirkan anak di rumah, mengikut jejak langkah sebagaimana yang dipelajari dari group-group "Gentle Birth" kononnya.

Namun yang menjadi masalah adalah, kandungannya itu adalah BREECH! Ya, SONGSANG! Anak yang dilahirkan tidak keluar kepala dahulu, tetapi sebaliknya keluar kaki dahulu, diikuti dengan badan. Kepala bayi adalah bahagian terbesar pada seorang bayi..maka ditakdirkan cerita, ketika bersalin, kepala bayi SANGKUT di pintu rahim dan tidak lepas!

Rafidah dengan cemas menghubungi doula melalui telefon, bertanyakan apa yang perlu dilakukan. Nak tahu apa yang doula tersebut jawab?

"Ala..akak lupa nak ajar macam mana nak sambut bayi songsang!"

Kami admin PW ketika membaca cerita ini, bagaikan ingin mencarut apabila sampai part ini. Kami sangka, setakat ini yang "the worst", rupanya belum lagi.

Nak tahu berapa lama bayi tersebut sangkut di pintu rahim?

TIGA JAM. Ya, three long hours, yang mana Rafidah sikit pun tak terfikir hendak bergegas ke hospital mendapatkan rawatan atau memanggil ambulans. Yelah, dah doula tu sendiri berlepas tangan!

Akhirnya anak tersebut meninggal dunia. Rafidah secara senyap-senyap membawa jenazah anaknya itu merentasi dua negeri untuk dikebumikan. Kisah ini apabila ditanyakan kepada Rafidah, beliau akan cepat sahaja menafikan. Beliau mendakwa anak beliau tersebut sudah meninggal dalam kandungan sebelum dilahirkan lagi. Dakwaan beliau itu menimbulkan keraguan..pertamanya macam mana beliau tahu anak tersebut dah meninggal? Di rumahnya bukannya ada alat mengesan jantung bayi. Bukannya ada alat ultrasound. Bukannya ada CTG. Doktor sendiri pun terpaksa bergantung kepada alat-alat untuk mengesahkan bayi sudah meninggal dunia didalam perut. Keduanya, wajah anak yang bruises dan congested ketika meninggal dunia. Bruise dan congestion hanya boleh muncul antemortem. Apabila seseorang meninggal dunia, darah sudah tidak mengalir, justeru bruises tidak akan muncul lagi.

Maka bersemadilah sebuah jasad yang lebih disayangi Allah. Mujurlah Allah menyelamatkan bayi itu daripada terus-terusan menjadi bahan eksperimen ibubapanya sendiri.

GHASIDAH

Kisah Ghasidah, adalah kisah yang baru sangat terjadi. Menariknya, Ghasidah ini sudah dikatakan "pro" dalam bab Gentlebirth ni. Kelahiran anaknya ini, bukannya first time. Anak sebelumnya ini pun dilahirkan secara unassisted homebirth, siap "lotus birth" lagi.

Justeru pada kelahiran kali ini, beliau nekad hendak homebirth dan lotus birth juga. Beliau mengatakan bahawa kononnya doktor di hospital dan jururawat di klinik semua menyokong pilihannya itu. Padahal ianya adalah dusta, tidak ada doktor mahupun staf yang mahu bertanggungjawab dengan pilihan beliau ini.

Yang silapnya dengan Ghasidah ini, adalah beliau tak sabar. Lepas anaknya bersalin, masih dalam pantang lagi, beliau tak sabar-sabar menulis pengalamannya "bersalin secara alami" tersebut. Beliau menghiaskan penulisannya dengan kata zikrullah, dengan kata tawakal, padahal tawakal yang beliau amalkan sama sekali tidak sama dengan apa yang Islam ajarkan (mengikat unta).

Beliau bangga menceritakan bahawa anaknya "bebas bahan kimia". Beliau tidak membenarkan dirinya sendiri ketika mengandung, untuk menerima transfusi darah walaupun paras hemoglobinnya 6. Beliau menolak semua jenis vaksin, beliau menolak antibiotik yang hendak diberikan kepada anaknya. Beliau menolak suntikan Vitamin K. Beliau menolak rawatan Exchange Transfusion apabila anaknya disahkan jaundis tahap sangat berbahaya. Pelik kan, kata mereka lotus birth mencegah jaundis. Oh ya, Ghasidah kata anaknya tak buat lotus birth. Tapi buat "DCC". Yelah tu, DCC sampai lebih 24 jam? Orang buat DCC paling lama pun sampai cord stop pulsating. Jangan nak tiba-tiba tukar cerita lah.

Dan pengalaman penulisannya itu dikongsikan oleh ribuan pengguna Facebook, dikatakan "inspiring". Entah berapa ramai ibu-ibu muda yang membaca, terpengaruh dengan penulisannya itu.

Namun "spotlight" yang Ghasidah terima, tidak lama. Lebih kurang sebulan usia, bayi Ghasidah mula menunjukkan tanda-tanda bermasalah. Ia semakin tenat. Adakah kerana ianya tidak divaksin? Adakah kerana Ghasidah tak mahu potong tali pusat? Adakah kerana homebirth yang Ghasidah buat tidak dalam keadaan sterile?

Malangnya, hanya selepas segalanya terlambat, barulah doktor mengesyaki bahawa anak Ghasidah mengalami pendarahan dalam otak, akibat dari pilihan Ghasidah enggan memberikan suntikan Vitamin K kepada anaknya itu. Ghasidah mendakwa bahawa pakar yang merawat anaknya itu mengatakan apa yang terjadi kepada anaknya tidak ada kaitan dengan pilihan-pilihan yang Ghasidah buat. Kami di PW sudah mengesahkan, bahawa doktor pakar yang merawat anak Ghasidah, TIDAK PERNAH mengatakan sedemikian.

TIGA ABDUL

Ironinya, ketiga-tiga kisah di atas ini, anda tidak akan dapat baca di laman-laman sosial diceritakan oleh Hamidah, Rafidah dan Ghasidah sendiri. Sebaliknya mereka ini seronok menceritakan "pengalaman positif", tetapi apabila terjadi sesuatu yang buruk, mereka segera menyembunyikannya. Apatah lagi untuk pengalaman sebegini, keluar di dada majalah atau akhbar atau di kaca televisyen.

Tetapi yang menjadi mangsanya, siapa? Siapa lagi kalau bukan masyarakat awam yang tidak tahu apa-apa. Membaca cerita yang Ghasidah tuliskan, atau menonton rancangan Nona, atau yang membaca artikel di Mingguan Wanita. Mereka tidak tahu apa sisi negatif di sebalik sesebuah cerita.

Kisah "Tiga Abdul" ini, jika ditanyakan kepada puak-puak Doula itu, pasti mereka akan tepis dengan cepat. "Ala kalau dah ajal nak mati, kat mana-mana pun boleh mati. Kat hospital kerajaan pun selalu ja ada kes mati ibu, mati anak, tapi tak kecoh pun. Hospital senyap-senyap macam tu sahaja."

Mereka pandai menimbulkan kesangsian orang awam kepada hospital. Suka kami nak ingatkan, kematian ibu dan anak (dipanggil maternal or perinatal death) adalah sesuatu yang sangat besar di hospital. Jika dibandingkan dengan bilangan keseluruhan ibu bersalin di hospital, yang easily mencecah belasan ribu bayi setahun, peratusannya adalah sangat sangat kecil. Tak sampai satu peratus.

Bahkan kalau benar keluarga meyakini wujudnya kelalaian atau kecuaian yang menyebabkan kecelakaan menimpa ibu atau anak, maka keluarga dialu-alukan membuat laporan atau menuntut tindakan undang-undang.

Tapi kalau geng GentleBirth ini? Dalam setahun, ada berapa kerat sahaja kes unassisted homebirth, tak termasuk yang "eksiden" "terberanak". Boleh dihitung, kan? Kalau kita kata ada 100 kelahiran homebirth pun, tiga kes di atas dah jadi tiga peratus.

Dan perlu kami sebutkan, yang ketiga-tiga kes Hamidah Rafidah dan Ghasidah ini melibatkan KORBAN NYAWA. Kami tahu ada banyak lagi kes-kes kecelakaan lain bahkan melibatkan kecacatan kekal akibat dari gerakan "gentlebirth". Kisah bleeding tak berhenti kat rumah sampai tak tahu nak buat apa bawak datang hospital yang akhirnya di transfuse berpint-pint. Kisah pintu rahim dan faraj terkoyak besar sampai perlu masuk dalam bilik bedah untuk dijahit. Kisah bayi patah tulang bahu kerana bersaiz besar (macrosomic). Ya, kami tahu semua kisah-kisah "behind the scene" ini yang tidak pernah geng-geng doula nak cerita kepada umum.

Begitu juga, kebanyakan kesan-kesan negatif terhadap anak-anak yang homebirth ini melibatkan proses perkembangan / developmental, yang mana kesannya hanya boleh dilihat apabila anak-anak ini meningkat dewasa. Contohnya seperti cerebral palsy, hearing impairment, klumpke paralysis, erb's palsy dan lain-lain. Itu pun kalau anak-anak ini sempat melepasi zaman jangkitan penyakit yang boleh dicegah vaksin seperti Polio dan Measles lah.

So kepada ibu-ibu perasan alami ini, jangan seronok sangat melihat kalian featured in magazines, newspapers, television. Your child still have a long way to go.

Manakala kepada ibu-ibu lain masyarakat awam, nasihat kami, janganlah mudah percaya kepada mereka-mereka ni. Kebanyakan mereka ni pun, cuma part time je jadi doula ni, bukannya full time study dalam bidang ni. Ada doula tu, degree dalam TESL, tapi menceburkan diri dalam bidang kedoulaan sebab bayaran lumayan kaching kaching. Ada yang kerja jadi navy, tak pernah bersalin normal pun, sibuk juga hendak bercakap mengenai bab ni. Ada lagi tu yang sudahlah lelaki, kerja sebagai engineer, puuuun nak jugak say something dalam bab yang bukan bidangnya ini!

Mereka ini yang nabi kata sebagai golongan ruwaibidhoh. Sebaliknya apa yang Allah ajar? Allah ajar kita untuk merujuk kepada orang yang ahli. Siapa orang yang ahli tu? Orang yang bertanggungjawab, yang memang kerja dia full time dalam bidang ni. Contohnya doktor pakar yang sudahlah bertahun-tahun belajar, bertahun-tahun kerja, bertahun-tahun sambung belajar dalam bidang OnG. Contohnya misi-misi yang hari-hari kerja mereka datang ke labor room, sambut kelahiran, balik, esok ulang perkara yang sama, yang sepanjang bekerja sudah entah ribuan bayi dah mereka sambut.

Buatlah pilihan yang betul. Jangan sampai anda menjadi penghias muka hadapan suratkhabar seperti ini.

- A1 -

Sumber: FB Page Pseudoscience Watch

Ads:

Previous
This is the oldest page
Thanks for your comment